Selasa, 9 Mac 2010

nota dari hujan

Hujan menyebabkan otak aku menjadi beku, sebeku daging lembu di peti sejuk. Hujan yang lebat petang tadi walaupun hanya seketika sudah cukup untuk memberi rahmat pada tanah yang semakin tandus dan gersang. Setandus akal manusia yang bijak menggunakan fungsi otak mereka untuk menindas dan mengeksploitasi fikiran manusia yang mudah dipahat dan diketam sehingga halus dan licin, dan sisa - sisa itu dilemparkan sejauh mungkin dari hidup mereka. Dalam kesejukan dan kebekuan petang yang dingin itu, aku berasa semakin terhimpit dengan dunia aku sendiri. Sering bermain dengan perasaan aku sendiri dan fantasi mimpiku yang aku harapkan menjadi sebuah realiti. Tidak seperti program - program nyanyian realiti yang aku anggap sebagai membuang masa dan duit. Menghasilkan suara mee segera yang hanya inginkan publisiti dan malas untuk berdikari. Hanya segelintir sahaja yang masih memikul tanggungjawab untuk meneruskan karier mereka dengan lebih serius. Kenapa aku perlu menyibuk hal mereka? Aku bukan mereka. Tinggalkan mereka dan aku terus menjadi aku.

Hujan telah memberi aku semangat untuk meneruskan nafas aku pada senja itu. Langkah aku bawa dengan beban yang aku pikul dalam diri ini amat sukar sekali untuk dituruti, melainkan aku genggam ia dengan kemas sehingga nafasku mencapai yang terakhir kali. Ia pasti dan aku pasti aku mampu untuk memastikannya.

Mata ini masih melihat, telinga ini masih mendengar, mulut ini masih berkata - kata, badan ini masih bergerak, dan kaki ini masih melangkah, walaupun hujan walaupun panas, aku redah ia untuk memenuhi keperluan ini. Tapi, sampai bila semua ini mampu aku lalui? Hingga satu masa aku tidak lagi mampu untuk merasai semua nikmat pemberianNya.


Hujan telah memberikan aku kesejukan dan kedinginan yang sekian lama telah aku nantikan setelah mengharungi hari - hari panas dan tandus. Walaupun panas, hari aku tetap sunyi. Biarpun hujan lebat membasahi bumi ini, hari - hari aku tetap sunyi dan sepi. Sukar untuk aku pastikan punca kesunyian ini, dan apa yang boleh menyebabkan kesunyian aku hilang selama - lamanya. Hanya Dia yang tahu segala - galanya. Biarpun malam berganti siang, biarpun hujan kering airnya, aku harus teruskan langkah ini dengan satu hati bertemankan mata dan akal fikiran untuk membawa aku jauh dari sini. Jauh dari kesunyian dan kegelapan, dan aku terus tersenyum.



Nota dari hujan.
3:28 am

Tiada ulasan:

Catat Ulasan