Isnin, 22 Februari 2010

helaian pertama

Pertama kali dalam hidup aku, sebuah novel telah aku baca sampai habis. Aku tak tau kenapa. Mungkin isinya yang telah menarik minat aku untuk baca Sentuhan Kasih tu sampai habis. Tak berniat pun untuk aku baca novel tu sampai habis. Pada mulanya aku hanya ingin melihat dan hanya baca sepintas lalu pada helaian pertama, kedua dan ketiga. Disebabkan helaian pertama, kedua dan ketiga itulah yang membuatkan hati aku terbuka untuk membaca setiap helaian yang ada di dalam novel tersebut hinggalah helaian terakhir yang telah mengambil masa 3 hari untuk aku menamatkan Sentuhan Kasih itu. Inilah kali pertama aku mengabadikan diri aku bersama sebuah novel yang menyentuh perasaan aku selama 3 hari. Novel yang setebal kamus dewan bahasa itu sedikit sebanyak telah memberi kesan dalam hati aku, dan hidup aku.

...5 tahun menanti kepulangan orang tersayang..

Sejauh mana orang yang kita sayang itu pergi, dan selama mana dia menghilang, dia akan tetap kembali ke pangkuan kita.







Sayang dan jujur.
12:09 am

Jumaat, 19 Februari 2010

hilang arah dan tujuan

Malam makin menggapai siangnya. Dan aku masih duduk termangu menanti idea yang datang untuk mengajakku melakukan sesuatu. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk keluar mencari keperluan diri yang ingin aku beli. Tibanya aku di situ, aku tidak membuang masa untuk mencari sesuatu yang amat penting bagi aku sebagai seorang remaja kota yang berkembang dengan persekitaran kota siang dan malam. Sebatang demi sebatang rokok aku habiskan di sepanjang masa aku melangkah dari satu kedai ke satu kedai. Sudah aku jumpa yang diinginkan, tapi size pulak yang menerajang kehendakku. Hampa aku kali ini. Dan hampa aku di sepanjang perjalanan pulang. Diorang taknak berniaga agaknya. Semestinya kalau nak berniaga, mereka sudah alert dengan benda-benda macam tu. Hati customer mestilah dijaga. Aku tidak suka pulang dengan tangan kosong jika aku sudah berniat ingin pulang dengan hasil yang aku inginkan. Haram...

Malam aku tidak berkesudahan di situ. Aku dan temanku mengambil keputusan untuk melepak di area Bukit Bintang. Kota malam yang sentiasa hidup dengan cahaya dan hati yang ingin mencari sesuatu. Motor aku parking dengan jayanya. Aku dan dia sepakat untuk berjalan kaki untuk melihat dengan lebih dekat suasana malam di situ. Ingin membuat research la kononnya. Dari satu jalan ke satu jalan kami berjalan. Semuanya membuang masa bersama teman. Ada yang menanti teman untuk dijadikan teman malam sehingga pagi menjelma. Sehinggalah aku tiba di area poket tebal. Kalau poket nipis jangan mimpi la nak lepak minum atau makan kat situ. Aku cuci mata ini dengan pemandangan yang indah-indah belaka. Lebih indah dari pusat-pusat percutian yang ada kat Malaysia ni. Aku peduli apa dengan orang nak kata. Aku mencari tempat untuk melabuhkan tirai punggungku yang agak sengal ni, penat berjalan. Rokok dibakar dan dihembus sambil mataku tidak lekang dari melihat suasana malam di situ. Mereka sibuk berjalan ke sana ke mari, mencari rezeki mungkin. Rezeki halal atau haram itu masalah mereka. Satu pelosok dunia terdapat di situ dan pelbagai warna kulit dapat dilihat. Memang Malaysia sebuah negara harmoni dengan warna kulit yang pelbagai.




Malam aku diteruskan lagi di sebuah kawasan panas di tengah-tengah Kuala Lumpur ini. Kawasan yang pesat membangunkan kupu-kupu malam. Bukan aku ingin mencuba, tapi ingin melihat dan menilai pembangunan ekonomi negara di sebalik tirai kotor itu. Apakah kesilapan mereka sehingga mereka sanggup melacurkan diri untuk mencari ruang kehidupan? Aku sebagai lelaki harus faham kenapa mereka jadi begitu. Bukan untuk memihak, tapi untuk memahami. Mungkin sejarah telah menyebabkan mereka tersadung di lembah dosa itu, atau memang itu kehendak mereka untuk mencari jalan mudah pada kehidupan yang senang. Atau mungkin kerana paksaan yang akhirnya menjadi satu kerelaan. Adakah ini satu kesalahan jika hanya ini cara yang mereka ada untuk meneruskan hidup? Hanya ini yang mereka nampak kerana ini adalah jalan yang mudah untuk meneruskan hidup. Biarlah maruah hilang diragut, biarlah jiwa kotor dibelenggu dosa, biarlah hina mereka diludah, mereka tetap akan meneruskan hidup dengan cara ini kerana ini sudah tertulis dalam hati besi mereka. Aku turut bersimpati dengan mereka dan hanya mampu berdoa agar mereka tersedar dari lena yang panjang. Masih ada jalan untuk kau di sini. Aku dan dia tinggalkan mereka yang asyik menggenggam khayalan dunia fantasi si kupu-kupu malam.




Aku dan dia meneruskan perjalanan untuk mengisi perut yang kosong, dan akhirnya kami jadikan tomyam dan nasi putih sebagai mangsa lahap kami. Hisap rokok dan balik. Fuhhhhh...





Telah banyak dosa yang aku lakukan.
3:51 am

Jumaat, 12 Februari 2010

merangkak di jalanan

Aku kerap merangkak,
sedangkan hati ini mahu berlari sekuatnya,
jalan itu jugak yang aku tuju,
di tengah jalan itu,
jalan yang menunggu masa untuk meragut keegoanku,
dan meragut kesombongan duniaku,
hidup aku dengan bongkak,
ingin memijak yang lemah,
dan memijak kepalaku sendiri,
mengangkat tangan tanda kebesaranku,
tanda kekuatanku,
siapalah mereka yang mampu melawan kedurjanaan diri yang penuh dengan rasa bangga ini,
aku hanya menjadi diri aku sendiri,
pedulikan mereka yang memandang hina diri ini,
aku perlu bangun,
untuk menunjukkan aku tidak gentar pada sesiapa,
sedangkan ada yang lebih hebat dan lebih berkuasa dari diri yang kusangka hebat ini,
itu sudah ku akui,
aku cuba untuk mempertahankan diri ini,
membela nasib ini.

Aku teruskan merangkak,
dengan perlahan,
sedangkan aku tahu aku mampu berlari selaju yang mungkin,
sejarah itu aku tinggalkan,
dan aku mencari sebuah kisah yang abadi,
untuk disematkan dalam diri ini,
sehingga lenyapku bersama fantasi khayalanku,
aku tidak mahu sendiri,
aku cuba untuk mencari,
mencari cinta mungkin,
dan segala mala yang mampu aku bawa,
risiko itu aku tanggung sendiri,
seberat mana akan aku pikul dengan payahnya,
sehingga peluh membasahi tubuh ini,
dan kering di sinari terik mentari.

Malam berganti malam,
aku kaku di tengah malam,
lenaku dalam mimpi sebuah khayalan,
permainan indah di waktu malam,
penipuan sang pari-pari,
yang hanya hadir dalam lenaku,
dan hilang pabila mataku terang dilimpahi cahaya pagi,
dan aku tertipu lagi,
pergi jahanam dengan mimpi itu,
sandiwara hanya.

Bangunlah,
usah kau merangkak lagi,
gunakan kaki itu untuk berlari,
tinggalkan segala yang kian menghampiri engkau,
itu tidak bermakna semuanya,
teruskanlah berlari.


Ini gambar curi





Mungkin aku sudah menghampirinya.
11:52pm

kegelapan yang terang

Kerajinan aku meluap-luap untuk beremosi pada kali ini walaupun perasaan ingin tidurku semakin tinggi dan semakin mendesak diri ini untuk tidur, walaupun aku tidak tahu apa yang perlu dicarutkan untuk entri kali ini. Jadi, aku ikut saja gerak hati ini dan jari ini menekan butang-butang huruf di papan leper ini.

Baca jer la..

Aku bukanlah manusia sempurna yang sentiasa inginkan kesempurnaan. Sering hidup dalam kegelapan dan kepekatan malam. Dirundung keserabutan jiwa dan kekusutan minda dalam diri. Aku cuba keluar dari kongkongan kegelapan ini dan mencari titik cahaya itu.

Tapi, di manakah titik cahaya itu?

Apa yang aku lihat hanyalah kegelapan. Tersesat dalam rongga mulut yang kerap berkata kejahatan. Diri tersesat dalam kerapuhan ikatan manusia merdeka. Aku cuba untuk keluar, keluar mencari siapakah diri ini? Keluar mencari siapakah tuan aku? Keluar tanpa ada siapa yang tahu. Bila masa itu akan muncul? Atau aku sendiri yang akan memecahkan masa itu dan membawa masa itu bersamaku. Mana mungkin. Jika ini berlaku, tidak mungkin lagi untuk aku memecah kegelapan ini.
Mataku terang untuk melihat segala. Telingaku peka untuk mendengar apa saja. Hidungku mampu untuk menghidu keenakan bauan dunia ini dan mulutku petah untuk memuji, mengeji, mengutuk dan mencium. Tapi siapakah aku? Aku tidak sempurna selagi aku belum keluar dari kurungan ini. Aku perlu memecah ia, dan mungkin aku boleh merempuh saja ia. Hinggalah aku bebas dari kurungan jahanam itu.

Mereka kata aku jahat. Ya, aku terima. Memang aku jahat, tapi itu dulu. Sekarang aku dah berubah. Pasti?? Aku tahu ke mana harus aku pergi. Tapi, apa yang aku lakukan sekarang hanyalah duduk bersila ditemani otak dan hati untuk berfikir.
Mereka kata aku gila. Ya, aku tidak gila. Mereka yang sememangnya gila. Hidup hanya dengan mencabuli mulut sendiri. Aku tidak pernah mencampuri urusan mereka, aku tidak pernah mencuri beras mereka dan aku tidak pernah tidur dengan teman wanita mereka. Jadi, kenapa harus aku dilemparkan begitu? Kau hidup tanpa pernah fikir kau sedang hidup. Aku peduli apa dengan semua itu.

Kehidupan harus aku teruskan. Walau segelap mana aku nampak, aku harus buka sebesar-besarnya mata ini untuk melihat jalan di depan. Mengelak lubang sebelum aku terjerumus ke dalamnya, berlari sekuat hati pabila anjing dengan rakus mengejarku, melompat setinggi langit jika cabaran datang menyahutku dan aku harus keluar dari kegelapan ini untuk mencari titik cahaya itu, dan aku sekali lagi harus tidur kerana aku sudah mengantuk dan mengantuk, dan aku tak tau apa yang aku merepek ni. Sebab aku tersangat mengantuk untuk entri kali ini. zzzzzzz...

Selamat malam.




Mengantuk
2:53am

Khamis, 4 Februari 2010

3 februari 2010

Hariku adalah pada hari ini.

Apa lagi aku nak cakap sebab aku pun dah sangat mengantuk ni. Apa yang aku tahu sesuatu telah berlaku pada 3 februari 24 tahun yang lalu. Pada waktu dingin pagi, aku telah wujud di dunia Tuhan Yang Satu ini. Nafasku dihembus, nyawaku diberi. Mulutku..merengek. Azan kedengaran di telingaku.

Dan hari ini, hari lahirku yang ke-24. Semakin meningkat usiaku, semakin berat beban yang akan aku pikul. Banyak lagi yang aku kena belajar.

Apa lagi yang aku nak cakap. Korang sendiri melalui peristiwa yang sama seperti aku 24 tahun yang lalu.

Sekarang, aku semakin matang dan akan terus melangkah dan melangkah tanpa henti dengan tujuan yang belum pasti.

Dan sekarang, aku patut tido dengan lenanya. Kembali bersama dunia fantasiku.

Esok aku kena kerja ke tak?




24 tahun masa berlalu.
12:31pm

Selasa, 2 Februari 2010

miskin hati miskin manusia

Orang kita,
suka lihat bangsa sendiri susah,
ringan hati pula memberi bantuan pada bangsa lain.

Mengalir air mata melihat saudara di sana menjadi hamba perang,
saudara di sini tiada perasaan melihatnya,
hati keras membatu,
perasaan sejuk membeku.

Si miskin itu perlukan bantuan,
perlukan kesenangan,
tidak dipalingnya walau sedikit untuk melihat,
pabila kamera silau sana sini baru terngadah nak membantu.

Orang kita,
risau keadaan mangsa bencana di sana,
bergolok bergadai demi persahabatan,
di tanah kita penindasan golongan miskin berlaku,
yang miskin semakin miskin,
yang kaya juga semakin miskin hatinya,
tidak dihiraukan mereka yang kebuluran dan kematian untuk hidup,
itulah manusia durjana.

Sibuk mengejar harta dunia tanpa memikirkan kehidupan manusia di tepian kekayaan itu,
mereka kenyang dengan cacian,
hidup berlindungkan si langit terang dan gelap,
bermandikan hujan di waktu lenanya,
berbajukan yang sama asalkan mampu menutup auratnya,
mereka tetap sabar dengan dugaan ini,
si miskin yang hanya mampu memasang angan-angan rutinnya,
tetap berkiblatkan Tuhan yang satu,
tempat mereka mengadu dan melepas segala doa dengan linangan air mata,
mengharapkan perubahan yang berlaku dalam hidup mereka,
bukan dengan kekayaan,
tapi dengan kesenangan dan kemudahan,
Kau bantulah mereka ini.

Akanku bantu mereka jikaku mampu,
akanku senangkan mereka jikaku senang,
aku tidak perlukan kamera-kamera itu untuk glamour,
publisiti murahan yang menjengkelkan,
hilang pabila kelibat silau itu tiada,
duit yang banyak itu lebih layak untuk mereka.

Sedih aku sedih melihat watak-watak permainan yang wujud dalam dunia realiti ini. Mungkin minda dan akal mereka sudah dilahirkan sebegitu rupa. Dan ini akan berterusan sampai kiamatnya akal fikiran mereka dan kiamatnya dunia ini.


Aku inginkan perubahan,
belalah nasib mereka yang ditindas,
aku tidak mampu,
hanya mereka yang mampu.





34 minit lagi.
11:26pm

lena dunia fantasiku

Aku,
dan angka itu,
akan berubah lagi,
untuk kali ke-24,
tapi bukan sekarang,
masa yang akan menentukan,
dan aku,
matang lagi,
matang bersama dunia fantasi yang di bawa,
membawa ia ke hadapan,
mengharap fantasi itu menjadi realiti,
mungkin wujud realiti di sebalik fantasi?
aku yakin kerna aku pasti ia.

Aku hanya mengikut arah kaki ini melangkah,
mengikut hati ini berkata,
mengikut telunjuk ini ke mana,
ke mana ia terjatuh,
ke mana ia bangun,
ke mana ia melompat,
ke mana ia merangkak,
dan ke mana ia mati,
mati aku tetap ada,
lari aku tidak ke mana,
berjalan aku dengan pasti,
cinta aku?
hanya dia yang tahu.

Masa yang aku cari akan muncul satu hari nanti,
dengan diriku yang semakin sombong dan bongkak menerjah arus permodenan dunia yang semakin mengikis kelembutan hati manusia,
semakin meningkatkan keegoan manusia yang sudah lali dengan kesibukan kata-kata durjana,
berdiri dengan bangga mengangkat tangan tanda sokongan,
kepanasan kota yang tidak pernah reda walaupun hujan akan turun saban hari,
aku harap ini hanya fantasi dunia,
dunia manusia jadian,
aku,
hanya mampu melihat dan berkata-kata,
tiada siapa akan mendengar luahan hati kecil ini,
melangkah seorang diri,
mencari erti keegoan manusia kota,
aku tidak mampu untuk bertindak,
tidak mampu aku,
aku hanya mampu diam dan tidur dengan lena bermimpikan dunia fantasiku,
dan mengharapkan perubahan akan berlaku,
untuk diriku.




Aku kesejukan di sini.
4:16pm