Isnin, 9 Ogos 2010

angin yang tersenyum

Hidup baru dengan nafas baru,
tidak perlu meniup habuk lagi,
tidak perlu mengelap lagi,
hanya angin yang membawa ia pergi,
hanya sejuk menemani malam ini,
menarik senyuman dengan pasti,
lihat saja ke mana ia,
ikut saja ke mana pergi,
tanya tangan jari menunjuk,
tanya kaki ke depan sudah,
tanya kepala tidak ingin berpaling,
malam tetap akan terang,
terang tetap akan berubah,
hanya angin meniup segala,
hanya akal menemani kita,
sejuk laptop ini dalam panas,
beku jemari ini di balik senyuman,
angin tersenyum kita gembira.

Semua rasa bersatu.

Hari - hari terakhir di sini.
2:31am

Ahad, 8 Ogos 2010

terima kasih

Biarkan dia pergi bersama habuk - habuk yang aku tiup pada laptop ini. Biar bersih laptop ini, biar bersih otak ini. Aku perlu hidup, aku perlu melihat. Bukan aku menoleh lagi. Bukan aku melambai lagi. Persetankan saja yang berlaku. Cilakalah yang terbuang itu, sampahkan saja yang kotor itu. Biarkan saja tanda - tanda itu terlerai tanpa jawapan. Bosan, aku nak tidur. zzZZZzzzZZzzzz...

Terima kasih kamu.

Tidurlah aku.
1:37am

Sabtu, 7 Ogos 2010

bahagia kami

Hari ini hari bahagia aku dan kami. Lupakan semua yang terkecewa dan penipuan yang diterima. Buang ke dalam tong sampah dan bawalah ia pergi. Aku kena gembira hari ini.

Tahniah semua !!

UM Convocation Ceremony 2010.


Ijazah itu milik kami.
10:59am

Khamis, 5 Ogos 2010

persoalan terbiar

Kejap aku tengok phone, sangkut lagi tulisnya. Kejap aku tengok inbox, tiada perubahan kedudukannya. Kejap aku menekan hijau, bunyi yang sama dengarnya. Kejap aku mencari, tiada apa yang aku jumpa. Kejap aku termenung, mencari silap yang tergantung. Kejap aku bertanya, negatif lagi yang aku terima. Kejap aku baring, meletak tangan di dahi menghalangnya pergi. Kejap aku mengeluh, tapi apa yang aku dapat. Semuanya sia - sia. Sia - sia? Mungkin ..

Melihat papan kekunci sepanjang masa, tidak tahu lagi apa yang ingin aku tanya dan pada siapa harus aku bertanya. Semua yang berkenaan menghilangkan diri. Lari entah ke mana membawa pergi semua jawapan pada setiap persoalan yang aku ajukan. Aku digantung di sini bersama persoalan - persoalan yang aku genggam kemas di kedua tangan ini. Tidak aku benarkan ia terlerai jatuh menghempas tanah. Kerna aku bimbang ia akan kotor dicemari najis - najis yang bersepah. Biarlah ia begitu sehingga aku tahu kebenarannya. Larilah sejauh mungkin yang kau boleh lari, kerna aku pasti akan mengejar.

Kau lemparkan pada aku harapan dan kau lari membiarkannya bersama aku. Kau hilang dan dia masih ada bersama aku.

Panas. Panas di sini. Aku jugak panas. Semua yang aku rasa disatukan dengan rasa panas. Kopi o yang aku telan ini jugak panas. Pekat rasanya. Apa yang aku rasa jugak pekat sekali. Apa lagi aku nak sepahkan di sini? Semua sudah aku sepahkan. Apa lagi yang belum? Nak tulis apa lagi? Tulis itu.. Tulis ini.. Sana sini situ.. Tulis dan tulis..

Di mana?

Larilah selaju yang boleh,
10:05 pm

mana kamu?

Apa lagi,
apa lagi aku nak buat,
masih tak sampai,
masih loading,
ke sana sudah,
ke sini pun sudah,
ke situ pun sudah,
berulang - ulangkali ke sana ke sini dan ke situ,
masih belum aku melihat,
walaupun aku rasa dekat,
walaupun hampir itu ada,
walaupun rasa itu ada,
acapkali disentap,
direntap,
menunggu sesuatu yang aku pasti,
pasti akan muncul jugak satu hari nanti,
aku hanya bertemankan sabar,
disebalik harapan,
dan usaha untuk melihat,
waktu itu dan saat ini betapa bezanya,
tidak aku kira,
ingin aku cepatkan waktu itu jika aku ketahui,
yang aku pasti ada,
bertemankan habuk - habuk di papan kekunci ini,
meniup dan mengelap dengan lemah,
dengan jari yang tidak pernah mengalah untuk mencuba,
menekan selagi boleh itu ada,
hingga terdengar suara itu,
yang aku tunggu,
senyum aku tika itu.

Mana kamu ???

Mana kamu Puteri Salju?
2:05pm

Selasa, 3 Ogos 2010

sila cuba sebentar lagi

"..sila cuba sebentar lagi.."

Semalaman dan seharian, suara yang sama aku dengar, kata - kata yang sama yang menyakitkan gegendang telinga aku. Berpuluh - puluh telah keluar, namun yang terakhir tetap sama dengan yang pertama. Hingga tika ini, jari jemari ini masih cuba menekan benda yang sama dan warna yang sama. Tetap suara yang sama muncul membingitkan telinga kiri ini. Bila suara itu mahu berubah? Aku terus menekan hingga kedengaran suara yang berbeza, suara yang bisa aku dengar sebelum ini. Tekanlah aku hingga datangnya suara itu mententeramkan kembali telinga ini.

Dia ada di depan mata aku, tapi aku tidak bisa nampak lagi, tidak bisa melihat lagi. Hanya menunggu masa aku membuka mata dengan izin - Nya. Mungkin ini ujian yang harus aku lulus dengan CGPA yang membanggakan, hingga aku berjaya menggenggam segulung 'ijazah' itu selama - lamanya.

Apa yang aku fikir tidak sampai, apa yang aku tanya tersangkut di celahan angin, apa yang aku mengadu disentap hujan yang lebat. Apa yang dilakukan sekarang, tidak aku ketahui. Khabarnya hari ini, hanya aku sendiri yang jawab. Mungkin hari ini sahaja. Ya, hari ini sahaja. Selamat ke atasnya.

Sampaikanlah salam ini.

KK5 UM,
11:46 am