Ahad, 25 Disember 2011

sepi masih sama

Kipas berpusing laju, dengan gerimis hujan di luar menambahkan kesejukan di pagi yang dingin ini. Bertemankan gigitan nyamuk yang sering membantutkan akalku. Hanya aku dan saiful yang ada di bilik. Masing - masing senyap dan leka menghadap laptop. Maklumlah, internet sepuluh kuasa kuda ketika ini. Abu pula pulang ke Wangsa Maju untuk bercinta dengan rumahnya. Manakala Im pula pulang ke Kajang. Tidak banyak yang aku fikirkan ketika ini melainkan mencari idea untuk aku contengkan di dalam Kelip Kertas Putih ini. Maklumlah, penangan video mesum buatkan aku lupa dan leka seketika. Segalanya menjadi beku dan sukar untuk dicarigali, lebih - lebih lagi waktu - waktu macam ni.

Oh, baru aku ingat. Sepetang aku berjalan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) untuk mencari sebarang dua benda. Hanya satu benda yang aku dapat dari dua benda yang aku inginkan. Pedulik lah, janji aku tak pulang dengan tangan kosong. Perut yang lapar memaksa aku untuk singgah makan di gerai sup yang ada di Jalan TAR. Aroma sup tersebut membuatkan aku terasa keinzalan yang melampau - lampau. Bihun sup menjadi santapan aku petang itu dengan 3 ketul bebola daging dan daging yang dipotong. Menangis aku cuba habiskan.

Bermacam - macam orang yang aku jumpa dan perhatikan. Dari segi bahasa kebanyakannya bukan dari Kuala Lumpur. Bersesak - sesak semata - mata mahu memenuhi keperluan dan kehendak sendiri. Aku tidak suka bersesak, tapi kerana terpaksa, aku relakan saja dengan muka yang masam mencuka. Aku tidak suka bersenggol bahu, tercuit sana sini. Semua tu buat aku rimas. Kebanyakan pengunjung 'kesesakan' ini gemar mengadakan mesyuarat tergempar di tengah - tengah jalan. Ini sangat bodoh bagi aku. Demi kepuasan diri sendiri hingga membuatkan orang lain mengatakan tentang anda. Itu tidak bagus. Jika aku berseorangan, aku lebih suka untuk beli dan balik. Di satu sudut kelihatan seorang peminta sedekah mengharapkan simpati orang ramai. Aku tidak tahu kenapa dia jadi begitu. Mungkin ada sebab positif, dan mungkin juga negatif. Di sudut lain pula, sekumpulan anak muda yang ghairah melihat gadis - gadis berpakaian seksi. Aku tidak salahkan anak muda tersebut kerana aku jugak melihat, dan kami diberi tontonan seksi tanpa dikenakan apa - apa bayaran. Ya, gadis - gadis di sepanjang Jalan TAR gemar menunjukkan aset mereka walaupun ada yang tidak mengghairahkan. Aku terhibur seketika. Hari ini hari Sabtu, orang ramai. Perlu menunjukkan yang aku ini sangat cantik. Katanya. Tidak berapa lama kemudian, aku hilang.

Tidak banyak yang aku lihat hari ini. Hanya pengunjung yang ghairah dan rambang mata dengan barang - barang jualan dan jugak gadis - gadis seksi. Itu semua sudah lumrah orang Malaysia yang ghairah dan bernafsu tinggi untuk membeli, dan jugak lumrah gadis - gadis Malaysia untuk berpakaian seksi apabila muncul di khalayak ramai. Aku nak menarik perhatian orang ramai okay.

Kipas masih berpusing laju dan nyamuk masih mengganggu sepi aku. Hujan sudah lama melabuhkan tirainya. Mungkin disimpan bakinya untuk dilepaskan esok hari. Saiful masih dengan laptopnya dan keadaan masih sama seperti tadi, sepi. Tidak ada apa yang berubah, yang berubah hanya pundi kencing aku yang sudah terisi dengan air. Esok masih ada lagi untuk aku perbaiki.
Sepi,
4:28am

Tiada ulasan:

Catat Ulasan